Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau nama singkatannya KL adalah ibu negara kepada Malaysia dan salah satu negeri yang diikitiraf sebagai bandaraya dunia atau bandaraya alfa. Kuala Lumpur adalah salah satu bandar metropolitan yang pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan juga ekonomi. Terdapat pelbagai tempat menarik di Kuala Lumpur serta aktiviti yang menyeronokkan yang boleh dilakukan semasa anda berada di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur adalah salah satu tempat yang menjadi tarikan utama kepada para pelancong luar untuk bercuti dan berkunjung ke Malaysia. Mari kita lihat beberapa tempat menarik di Kuala Lumpur, yang boleh anda kunjungi semasa anda berada di situ. Antaranya ialah:
Muzium Negara
Sekiranya anda ingin melihat segala khazanah sejarah warisan negara, Muzium Negara adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda lawati. Di Muzium Negara, anda dapat menerokai sejarah Malaysia dari zaman pra-sejarah hingga ke Malaysia kini. Muzium yang mempunyai empat galeri utama ini mempunyai barang tinggalan zaman sejarah serta artifak-artifak lama yang mengagumkan. Di samping itu, Muzium Negara juga adalah salah satu tempat yang sesuai bagi sekolah-sekolah untuk menganjurkan program lawatan sambil belajar di mana pelajar boleh mengenali sejarah dengan lebih mendalam dan terperinci. Selain itu, terdapat beberapa kemudahan pengangkutan awam yang disediakan untuk ke Muzium Negara. Maka dengan itu, anda dan keluarga tidak perlu risau berkenaan pengangkutan kerana anda boleh membuat pilihan sama ada untuk menaiki bas, LRT mahupun MRT untuk ke Muzium Negara. Harga tiket masuk ke muzium ini juga sangat murah dan berbaloi serta mampu milik oleh setiap peringkat umur.
Balai Seni Negara
Balai Seni Negara Malaysia adalah salah satu tempat yang menarik di Kuala Lumpur. Balai Seni Negara ialah tempat di mana para penggiat seni tanah air menunjukkan bakat mereka dengan mempamerkan hasil seni mereka di sini. Terdapat pelbagai jenis seni yang unik dan menarik yang boleh anda lihat dari kesenian lama sehingga kesenian moden yang melibatkan arca-arca moden, fotografi serta seni-seni yang melibatkan teknologi moden. Rekaan dalaman balai seni ini mempunyai rekaan yang futuristik, moden, luas dan eksklusif di mana anda boleh menghayati seni-seni yang dipaparkan secara lebih mendalam tentang motif dan maksud tersirat sesuatu seni itu. Bayaran untuk masuk ke balai seni adalah percuma dan sangat berbaloi bagi mereka yang mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap apa-apa sahaja bentuk seni. Selain itu, Balai Seni Negara juga sering menganjurkan ekspo atau pameran yang berbagai-bagai pada setiap bulan. Sekiranya anda bertuah, anda juga dapat melihat sendiri artis-artis melukis secara langsung di balai seni tersebut. Bayaran masuk ke balai seni pula ini adalah percuma bagi setiap golongan peringkat umur.
Petrosains Malaysia
Selain itu, Petrosains Malaysia juga adalah salah satu tempat menarik di Kuala Lumpur. Sekiranya anda tidak tahu ke mana hendak membawa anak-anak kecil anda untuk keluar berjalan-jalan, ianya sangat disarankan jika anda membawa mereka ke Petrosains Malaysia. Anak anda bukan sahaja boleh berseronok dengan aktiviti dan permainan yang disediakan namun mereka juga sedikit sebanyak boleh meneroka ilmu mengenai sains dan teknologi. Petrosains yang berlokasi di dalam sebuah kompleks membeli-belah Suria KLCC ini sememangnya memudahkan lagi tugas ibu bapa kerana tempat tersebut dilengkapi dengan segala kemudahan seperti tempat makan, tandas dan sebagainya. Bayaran masuk ke tempat ini juga tidak begitu mahal dan sangat mampu milik bagi mereka yang dah berkeluarga mahupun belum.
Planetarium Negara
Seterusnya, antara tempat menarik di Kuala Lumpur ialah Planetarium Negara. Sekiranya anda ataupun ahli keluarga anda berminat tentang perkara yang berkaitan angkasa lepas atau teknologi yang digunapakai untuk mengkaji perkara yang berada di ruang angkasa, Planetarium Negara adalah tempat yang paling sesuai untuk anda lawati. Bangunan yang terkenal dengan kubah biru yang besar ini menyediakan sebuah bilik teater yang sangat terkenal di mana mereka menayangkan cerita-cerita berkenaan dunia angkasa yang bermula pada setiap 10 pagi sehingga 4 petang. Setiap tayangan mengambil masa lebih kurang 30 minit. Pameran dan galeria di Planetarium ini juga sungguh menarik di mana anda boleh melihat enjin angkasa yang digunakan untuk satelit pertama Malaysia dan bermacam-macam lagi. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk melawat Planetarium Negara ini.
Taman Burung Kuala Lumpur
Anda seorang yang sangat sukakan binatang lebih-lebih lagi burung? Taman burung Kuala Lumpur adalah tempat yang sesuai untuk dikunjungi oleh orang-orang seperti anda. Seperti yang kita sedia maklum, burung mempunyai pelbagai spesis dan juga jenis yang berbeza. Di taman burung Kuala Lumpur ini, anda boleh melihat lebih kurang 3,000 jenis burung dalam habitat semulajadi mereka. Taman burung yang berukuran sebesar 20.9 hektar ini dibina dalam sebuah hutan hujan tiruan. Taman burung Kuala Lumpur juga adalah antara salah satu sangkar habitat burung yang terbesar di dunia. Di sini juga terdapat burung-burung eksotik yang didatangkan daripada pelbagai tempat di seluruh dunia. Sekiranya anda ke taman burung ini, jangan lepaskan peluang untuk melihat “bintang terkenal” iaitu Merak Biru India dengan ekor warna-warninya sepanjang 5 kaki, burung nuri terbijak di dunia yang dipanggil Congo Africa Grey, burung kakak tua Pesquet yang sudah hampir pupus dan banyak lagi jenis-jenis burung yang menarik.
Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Taman rama-rama yang mempunyai keluasan 80,000 kaki persegi ini adalah taman rama-rama yang terbesar di dunia. Sebanyak 6,000 spesis rama-rama dan 120 spesis unggas yang boleh anda lihat di taman perlindungan semulajadi serangga ini. Cukup menarik juga, anda boleh melihat tumbuhan eksotik yang berada di taman rama-rama ini di mana tumbuhan eksotik ini berfungsi sebagai habitat kepada serangga yang cantik ini. Selain itu, terdapat juga haiwan yang boleh menjadi tatapan kepada para pengunjung dan di antaranya ialah ikan koi, penyu dan sebagainya. Taman rama-rama ini juga mempunyai sebuah galeri di mana anda boleh melihat sendiri sebahagian rama-rama serta serangga yang eksotik dari seluruh dunia yang telah diawetkan. Taman rama-rama ini sangat sesuai dijadikan tempat untuk meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang.
Aquaria KLCC
Bagi mereka yang sukakan hidupan laut, Aquaria KLCC adalah tempat yang wajib anda kunjungi semasa di Kuala Lumpur. Taman akuarium yang sebesar 60,000 kaki ini adalah salah satu tempat menarik di Kuala Lumpur yang sering menjadi cadangan kepada rakyat setempat sekiranya anda bertanyakan tempat yang patut dikunjungi di Kuala Lumpur. Antara tarikan utama di taman akuarium ini ialah terowong air 90 meter bersama travelator bergerak. Bukan sahaja itu malah anda juga berpeluang berinteraksi dengan ikan di taman akuarium ini. Antara aktiviti yang membenarkan anda untuk berinteraksi dengan ikan ialah pakej Dive with the Shark iaitu menyelam bersama jerung, Cage Rage iaitu selaman dalam sangkar yang membolehkan anda masuk ke kolam akuarium untuk melihat jerung dengan lebih dekat dan menyentuh jerung buluh di kolam Touchpool. Walaupun harga kemasukannya sedikit mahal namun pengalaman yang bakal anda lalui di taman akuarium ini tiada tolak bandingnya. Taman akuarium, Aquaria KLCC ini amat sesuai dijadikan tempat untuk anda dan keluarga keluar berjalan-jalan bersama sambil-sambil menambah ilmu berkaitan hidupan laut.
Istana Budaya
Adakah anda sudah mula muak dan bosan menonton panggung wayang dan teringin untuk melihat sesuatu yang mempunyai kelainan? Menonton pementasan secara langsung di istana budaya mungkin boleh menjadi satu alternatif dan pengalaman yang baik untuk anda. Terdapat banyak perbezaan di antara melihat pementasan kebudayaan secara langsung dan menonton wayang. Sekiranya anda tertanya-tanya apakah perbezaannya, anda boleh pergi dan lihat sendiri dengan mata kepala anda dan rasa akan perbezaannya. Melalui pementasan yang biasanya berkisar tentang adat serta keturunan melayu dan sebagainya, anda juga dapat menambah ilmu serta menjadikannya insiprasi kepada diri anda sendiri. Bangunan yang bercirikan seni bina keturunan melayu ini beroperasi pada tahun 1999 namun pelbagai persembahan yang hebat-hebat telah dipentaskan di Istana Budaya ini antaranya Konsert Musikal Puteri Gunung Ledang dan The Merry Widow. Sekiranya anda ke Kuala Lumpur, jangan lupa untuk luangkan sedikit masa untuk melihat persembahan teater di Istana Budaya ini. Pasti anda tidak akan sesekali kesal.
KL Upside Down House
Rumah terbalik? Pasti anda merasakan ianya tidak masuk dek akal untuk sesebuah rumah berada dalam keadaan yang terbalik, bukan? Namun begitu, di Kuala Lumpur terdapat sebuah rumah terbalik yang berlokasi di Jalan P. Ramlee dan Jalan Puncak yang boleh anda kunjungi bersama keluarga dan orang tersayang. Binaan rumah terbalik yang unik ini telah menjadi salah satu tempat menarik di Kuala Lumpur yang sesiapa sahaja boleh datang dan rasai pengalaman berada dalam rumah tersebut. Rumah terbalik ini pasti menjadi tempat yang seronok untuk dilawati sekiranya anda seorang yang suka bergambar. Harga tiket untuk memasuki rumah terbalik ini ialah sebanyak RM 15 untuk orang dewasa manakala untuk kanak-kanak pula ialah RM 10. Oleh itu, tunggu apa lagi? Buang rasa tertanya-tanya anda itu dengan melawati rumah terbalik yang terletak di Kuala Lumpur ini!
Muzium Kesenian Islam
Muzium kesenian yang ditubuhkan oleh hartawan terkenal, Tan Sri Syed Bukhari ini adalah antara muzium kesenian Islam yang terbesar di Asia Tenggara dan terbaik di Malaysia. Muzium yang menempatkan sebuah perpustakaan besar yang boleh memuatkan beratus-ratus buku tentang kesenian Islam dari seluruh dunia ini juga mempunyai rekaan dalaman yang sangat ringkas dan mendamaikan. Muzium kesenian Islam ini juga mempunyai lebih 7,000 artifak dan antara artifak yang dipamerkan di muzium tersebut ialah model masjid-masjid di seluruh dunia termasuk Masjidil Haram di Mekah dan juga Al-Quran bersaiz ibu jari. Tersangatlah rugi sekiranya anda tidak melawat muzium kesenian Islam ini semasa anda berada di Kuala Lumpur kerana anda pasti akan kagum jika anda berpeluang melihat pelbagai pameran serta artifak yang gah dan unik di muzium tersebut.
Dapatkan Insurans Perlindungan Perjalanan MSIG TravelRight Plus dari kami di PolicyStreet.
Inilah senarai comprehensif tempat menarik di Kuala Lumpur! Melancong dan meluangkan masa bersama orang tersayang sememangnya menyeronokkan. Namun yang demikian, adakah anda telah menyiapkan diri anda dan orang tersayang dengan apa-apa perlindungan sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku semasa perjalanan anda? Jangan ambil risiko dan segera dapatkan insurans perlindungan perjalanan MSIG TravelRight Plus dari kami di PolicyStreet sebagai salah satu persediaan anda menghadapi apa jua rintangan yang mendatang semasa anda pergi melancong. Anda juga berpeluang untuk mendapat diskaun sebanyak 25% dan rebat sebanyak RM 10 jika anda membeli insurans perlindungan perjalanan ini dari kami di PolicyStreet. Layari laman web www.PolicyStreet.com untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan insurans perlindungan perjalanan MSIG TravelRight Plus dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh kami.