Tiroid.
Sekiranya disebut tentang penyakit ini, kebanyakan dari kita pasti membayangkan bengkak atau benjolan yang kelihatan jelas pada leher seseorang. Namun begitu, tahukah anda bahawa tidak semua pesakit tiroid mempunyai simptom yang sama? Kebanyakan daripada pesakit tiroid tidak mengalami benjolan atau bengkak pada leher mereka malahan mereka mengalami simptom-simptom lain seperti gangguan emosi iaitu sering marah, tidak berasa selesa ketika menelan makanan dan lain-lain. Rata-rata daripada pesakit tiroid ialah golongan wanita yang berumur antara 20-40 tahun dan penyakit ini boleh dihidapi oleh mereka yang sedang hamil mahupun tidak. Selain itu, penyakit ini juga tidak terbatas terhadap wanita sahaja dan ia juga boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina serta peringkat umur. Penyakit ini adalah penyakit yang boleh berubah menjadi lebih teruk iaitu kanser sekiranya penyakit tersebut dibiarkan tidak dirawat.
Apakah itu penyakit tiroid?
Penyakit ini ialah masalah umum yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon tiroid dalam badan seseorang. Tiroid adalah kelenjar yang berbentuk seperti rama-rama yang berada di bahagian hadapan leher serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan hormon tiroid. Zat iodin yang terdapat dalam zat makanan seperti makanan laut dan garam digunakan untuk menghasilkan hormon ini. Hormon ini mempunyai peranan yang sangat penting dalam mengawal kadar metabolisme serta fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran dan sebagainya.
Apakah penyebab penyakit tiroid?
Penyakit ini terbahagi kepada dua iaitu hipertirodisme (kelenjar tiroid terlebih aktif) dan hipotirodisme (kelenjar tiroid kurang aktif) di mana kedua-duanya berpunca daripada penghasilan hormon yang tidak normal.
Hipertiroidisme
Kebanyakan jenis penyakit Hipertiroidisme adalah disebabkan kelenjar hormon ini yang dihasilkan secara berlebihan namun kondisi ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa bentuk penyakit yang dipanggil seperti berikut:
- Penyakit Graves : Terlalu banyak kelenjar hormon ini yang dihasilkan.
- Goiter Multidonular Toksik
- Nodul Tiroid
- Pengambilan iodin yang berlebihan
Hipotirodisme
Bertentangan kepada Hipertiroidisme, penyakit Hipotirodisme pula adalah keadaan di mana kelenjar tiroid yang kurang aktif menghasilkan hormon tiroid yang rendah. Memandangkan badan kita memerlukan jumlah tertentu hormon tiroid untuk memproduksikan tenaga di dalam badan, pengurangan hormon tiroid dalam badan boleh menyebabkan perubahan kepada kadar tenaga yang rendah. Antara penyebab penyakit Hipotirodisme adalah seperti berikut:
- Tiroiditis Hashimoto : Tiroiditis Hashimoto ialah penyakit autoimun yang menyebabkan sistem kekebalan badan berbalik melawan diri pesakit itu sendiri dan menyerang tiroid.
- Masalah keradangan pada kelenjar tiroid iaitu tiroiditis.
- Pembuangan kelenjar tiroid : Pembuangan kelenjar tiroid yang dibuat melalui pembedahan.
Selain itu, penyakit ini juga boleh berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri dan antaranya ialah :
- Goiter : Kondisi di mana kelenjar tiroid membengkak
- Nodul Tiroid : Terdapat ketulan abnormal di dalam kelenjar tiroid yang disebabkan oleh benign tumour serta boleh menjadi penyebab kepada penyakit yang jarang-jarang berlaku iaitu kanser tiroid.
- Kanser atau barah tiroid sering berlaku kepada golongan wanita berbanding lelaki, remaja atau kanak-kanak. Terdapat beberapa jenis barah tiroid dan barah tiroid yang terjadi bergantung kepada jenis sel barah itu berasal.
Apakah tanda atau gejala penyakit ini?
Gejala yang mungkin berlaku kepada pesakit Hipertiroidisme:
- Degupan jantung yang laju
- Tangan menggeletar (Tremor)
- Sering berpeluh dan berasa panas
- Berat badan menurun dengan mendadak
- Kelihatan letih dan sentiasa berasa lesu
Gejala yang mungkin berlaku kepada pesakit Hipotiroditisme:
- Sering sembelit
- Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita
- Tidak boleh menumpukan perhatian dengan baik dan tahap pemikiran menjadi lembap
- Kulit menjadi kering
- Berasa letih dan lesu sepanjang masa
- Sering berasa sejuk
Antara tanda-tanda anda mengalami masalah Goiter ialah berlakunya pembengkakan pada kelenjar tiroid dan boleh mempunyai gejala-gejala seperti penyakit Hipertiroidisme, Hipotiroidisme atau Eutiroid (fungsi tiroid yang normal). Manakala jika anda mengalami penyakit Nodul Tiroid pula anda kemungkinan akan menghadapi masalah seperti kesukaran untuk bernafas dan suara menjadi kasar akibat daripada Nodul yang menjadi besar dan menekan struktur-struktur lain yang berhampiran. Di samping itu, antara gejala anda menghidapi penyakit barah tiroid ialah terdapat ketulan yang abnormal pada kelenjar tiroid, kesukaran untuk bernafas, sakit apabila ingin menelan makanan, suara menjadi kasar, sakit serta batuk yang berpanjangan dan diikuti sakit yang berterusan pada bahagian leher.
Apakah komplikasi penyakit ini?
Sekiranya penyakit Hipertiroidsme tidak dirawat dengan segera, ia boleh menimbulkan komplikasi seperti berikut:
- Keadaan Thyroid Storm boleh berlaku kepada pesakit tiroid di mana terdapat gejala-gejala seperti denyutan jantung yang laju, demam panas dan keadaan tidak sedarkan diri. Thyroid Storm adalah kondisi yang sangat berbahaya dan jika keadaan seperti ini dibiarkan tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan kematian.
- Osteoporosis iaitu keadaan di mana tulang menjadi rapuh akibat gangguan ke atas metabolisme kalsium di dalam badan.
- Pesakit boleh mengalami masalah pada mata yang dipanggil penyakit Grave di mana bola mata menjadi merah, bengkak dan terbonjol
- Komplikasi pada jantung di mana pesakit akan menghidapi penyakit seperti atrial fibrillation dan jantung menjadi lemah akibat daripada denyutan jantung yang tidak terkawal dan terlalu laju.
Manakala bagi pesakit Hipotiroidisme pula jika penyakit tersebut dibiarkan tidak dirawat, kemungkinan besar yang akan berlaku pada pesakit tersebut adalah komplikasi-komplikasi seperti berikut:
- Masalah mental di mana pesakit boleh mendapat kemurungan dan pemikiran menjadi lembap.
- Masalah kemandulan bagi pesakit wanita.
- Komplikasi pada jantung akibat kandungan kolestrol yang tidak baik akan meningkat.
- Masalah saraf di mana pesakit akan berasa kebas dan sakit di bahagian saraf yang terlibat.
- Risiko terkena Myxedema iaitu keadaan yang sangat kritikal di mana ia boleh meragut nyawa pesakit dan menyebabkan koma.
- Perkembangan fizikal dan mental bayi dalam kandungan menjadi terbantut dan bayi tersebut berisiko mendapat komplikasi lain.
Apakah antara rawatan yang boleh dilakukan untuk mengubati penyakit tiroid?
Penyakit ini boleh diubati melalui pengambilan ubat-ubatan mahupun melalui pembedahan. Walaupun begitu, cara rawatan juga bergantung kepada jenis masalah tiroid yang dihadapi.
Bagi penyakit Hipertiroidisme, penghasilan hormon tiroid boleh dikawal melalui pengambilan ubat-ubatan yang diambil secara oral. Gejala-gejala yang dialami akibat Hipertiroidisme seperti denyutan jantung yang laju juga boleh dikawal dengan mengambil ubat-ubatan secara oral. Walau bagaimana sekalipun, jika pengambilan ubat-ubatan tidak menunjukkan sebarang perubahan, pesakit boleh membuat rawatan ablasi radioaktif iaitu rawatan untuk mematikan tisu kelenjar tiroid secara selektif. Selain itu, bagi penyakit Hipotiroidisme pula pesakit boleh mengambil pil sintetik hormon tiroid secara oral untuk mengantikan hormon tiroid yang kurang aktif.
Selain itu, pembedahan juga adalah salah satu rawatan yang disarankan sekiranya masalah tiroid yang dialami adalah sangat serius seperti barah tiroid. Pembedahan juga sesuai untuk dilakukan jika Goiter yang dialami terlalu besar sehingga menyukarkan pesakit untuk bernafas atau menelan makanan. Begitu juga dengan penyakit Nodul Tiroid yang tidak boleh dirawat hanya dengan mengambil ubat-ubatan sahaja.
Kesimpulan
Penyakit ini mungkin dilihat sebagai salah satu penyakit yang tidak serius dan berbahaya namun tiada apa-apa yang mustahil untuk berlaku. Bagaimana jika penyakit yang anda alami kini bertukar menjadi penyakit yang lebih serius dan boleh mengganggu kehidupan seharian anda seperti anda tidak mampu lagi untuk keluar mencari rezeki dan sebagainya? Tentu ia akan meragut kebahagiaan dan memberi impak yang cukup besar kepada anda dan keluarga. Menghidapi penyakit adalah suatu perkara yang cukup membebankan kepada seseorang tambahan lagi jumlah kos rawatan untuk mengubati penyakit tersebut, tentu sahaja memberi tekanan dan tamparan yang cukup hebat kepada anda dan keluarga.
Sehubungan dengan itu, kami di PolicyStreet sangat menyarankan anda untuk mengambil kad medikal dari AXA eMedic sebagai perlindungan kesihatan anda di masa hadapan. Kad medikal dari AXA ini adalah antara kad medikal yang terbaik berada di pasaran sekarang. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapatkan kad medikal ini melalui atas talian sahaja hanya dengan melayari laman web kami di www.PolicyStreet.com tanpa perlu bersusah-payah untuk ke mana-mana. Anda juga berpeluang untuk mendapat rebat eksklusif sebanyak RM 50 sekiranya anda dapatkan kad medikal AXA eMedic ini dari kami di PolicyStreet. Oleh itu, apa yang anda tunggu lagi? Dapatkan kad perubatan AXA eMedic ini sekarang sementara anda masih sihat! Klik di sini sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kad perubatan AXA eMedic.