Gigi adalah aset paling berharga dan istimewa yang dianugerahkan pada manusia dan haiwan. Sedarkah anda bahawa gigi memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian anda? Gigi adalah pelengkap kepada penampilan seseorang dan menjadi salah satu anggota yang terpenting dalam sistem pencernaan manusia dan haiwan. Sekiranya anda tidak mempunyai gigi, kehidupan anda akan menjadi agak sukar kerana gigi khususnya berfungsi untuk mengikis, memotong, mencarik, mengunyah dan menghancurkan makanan sebelum masuk ke proses pencernaan. Selain itu, gigi juga berperanan penting untuk digunakan semasa berkomunikasi bersama orang lain kerana gigi adalah faktor utama dalam menentukan segala pertuturan disampaikan dengan jelas dan tepat. Justeru itu, kesihatan gigi tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan sama sekali.
Rata-rata masyarakat kini sering mengambil ringan tentang penjagaan kesihatan gigi kerana kurangnya pendedahan tentang perkara tersebut. Penjagaan gigi adalah sangat penting dan penjagaannya harus dititikberatkan sebagaimana kita mengambil berat penjagaan kesihatan tubuh badan kita yang lain. Ramai di antara kita yang masih tidak begitu maklum bahawa kesihatan gigi atau mulut berkait rapat dengan kesihatan tubuh badan secara keseluruhan dan boleh memberi impak kepada kesihatan anggota atau organ badan yang lain. Sebagai contoh, mulut yang dipenuhi bakteria boleh menyebabkan pertumbuhan ulser di bahagian dalam perut serta berkait rapat dengan masalah radang hati. Perkara ini boleh terjadi akibat daripada tidak menjaga kebersihan gigi dengan baik. Menurut Dr Halina Haron daripada Pakar Pergigian Klinik Pergigian Halina, pembentukan plak pada gigi boleh berlaku dalam waktu yang sangat singkat iaitu 20 minit selepas makan. Jelasnya lagi, kajian mendapati bahawa mereka yang mengalami masalah gusi atau periodontal yang kronik adalah 40 peratus lebih tinggi daripada mereka yang tidak mempunyai masalah tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesihatan gigi adalah sangat penting dan harus dijaga dengan baik demi menjamin kehidupan yang selesa dan sempurna.
Masalah-masalah berkaitan kesihatan gigi
Karies Gigi
Karies gigi atau gigi berlubang adalah masalah berkaitan gigi yang sering berlaku pada kebanyakan orang terutama kepada mereka yang menjaga kebersihan gigi mereka secara sambil lewa. Karies gigi berpunca daripada bakteria yang berada di dalam plak bertindak balas dengan gula yang ada di dalam makanan seperti makanan yang mengandungi karbohidrat untuk menghasilkan asid. Asid yang terhasil daripada proses tindak balas tersebut akan melarutkan tisu-tisu keras iaitu enamel gigi dan boleh menyebabkan pembentukan lesi karies pada gigi yang akhirnya boleh merosakkan gigi sekiranya dibiarkan tidak dirawat.
Tanda-tanda Karies Gigi
- Rasa ngilu atau sakit apabila minum air yang panas atau sejuk
- Terdapat perubahan pada warna gigi iaitu terdapat tompok dan bintik hitam atau putih pada gigi
- Terdapat lubang yang jelas pada gigi
- Makanan sering melekat pada permukaan gigi
- Terdapat liang-liang kecil yang ketara pada permukaan gigi
Gingivitis dan Penyakit Periodontal
Penyakit Periodontal dan gingivitis kedua-duanya ialah masalah yang berkaitan dengan gusi. Penyakit Periodontal biasanya terjadi akibat daripada pengumpulan plak bakteria manakala Gingivitis berpunca daripada plak yang terbentuk di sepanjang permukaan gusi yang boleh menyebabkan gusi mudah berdarah dan sering membengkak. Sehubungan dengan itu, plak yang menjadi penyebab utama kepada masalah ini harus disingkirkan sebelum ianya bertukar menjadi toksin dan akan menyebabkan gusi lekang dari gigi serta membentuk lengkuk di antara gigi dan gusi. Jangkitan di bahagian gusi adalah sangat sensitif kerana jangkitan tersebut boleh memusnahkan gentian yang memegang gigi di tempatnya dan menyebabkan kerosakan pada tulang gigi. Keadaan tersebut lebih dikenali sebagai periodontitis.
Gejala-gejala Gingivitis dan Penyakit Periodontal
- Pembengkakan gusi
- Perubahan pada warna gusi iaitu gusi berwarna merah terang atau keunggu-ungguan
- Mulut dan nafas berbau busuk
- Terdapat nanah atau berdarah di antara celah gigi atau gusi
- Gigi mudah tertanggal atau patah
- Mempunyai perubahan pada gigi ketika menggigit
Perbentukan plak dan kalkulus
Plak adalah lapisan nipis dan melekit mengandungi bakteria yang sering terbentuk di dalam mulut seseorang. Plak terbentuk akibat daripada sisa makanan yang berada di dalam mulut di mana sisa-sisa makanan tersebut akan bertukar menjadi plak melalui proses penguraian bakteria dan sekiranya plak ini dibiarkan selama lebih daripada 24 jam tanpa dibersihkan, kemungkinan besar plak tersebut akan menebal dan bakteria akan mula membiak di dalam mulut. Lanjutan daripada itu, plak yang tidak dibersihkan juga akan menjadi keras akibat daripada enapan garam kalsium daripada air liur dan akan membentuk kalkulus. Kalkulus gigi adalah sangat sukar untuk disingkirkan dan hanya boleh dibuang melalui kaedah pengkikisan oleh doktor di klinik.
Cara-cara menjaga kesihatan gigi dengan baik
Dengan masalah-masalah yang mungkin berlaku pada gigi seperti disenaraikan di atas, terbuktilah bahawa penjagaan kebersihan dan kesihatan gigi amat penting untuk diamalkan bagi setiap peringkat umur tidak kira bagi yang telah dewasa mahupun kanak-kanak. Penjagaan kesihatan pergigian yang baik membolehkan seseorang itu bertutur dengan jelas, mengunyah makanan dengan baik serta meningkatkan keyakinan dan menjadi pelengkap kepada penampilan seseorang. Antara cara-cara yang boleh anda lakukan untuk menjaga kesihatan gigi adalah:
- Pastikan bahawa anda memberus gigi dan menggunakan ubat gigi berfluorida pada setiap hari terutama selepas makan dan sebelum anda tidur pada waktu malam. Selain itu, amalkan juga teknik memberus gigi yang betul supaya gigi anda benar-benar bersih daripada segala sisa makanan yang berada di dalam mulut.
- Tukar berus gigi sekiranya bulu berus gigi telah mulai mengembang.
- Elakkan daripada berkongsi berus gigi dengan orang lain.
- Berkumur-kumur sekiranya anda tidak berkesempatan untuk memberus gigi anda selepas makan.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang serta kurangkan atau elakkan mengambil makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula.
- Membuat pemeriksaan pergigian secara berkala di klinik pergigian serta kerap membawa anak anda ke klinik untuk pemeriksaan gigi mereka serta membiasakan mereka dengan suasana di klinik pergigian agar mereka tidak takut untuk membuat pemeriksaan gigi.
- Segera rujuk pada pakar gigi dan dapatkan nasihat mereka sekiranya anda mengalami kecederaan di bahagian gigi atau masalah pergigian.
Kesimpulan
Tegasnya, penjagaan kesihatan gigi haruslah diambil berat dan diterapkan kepada anak-anak anda sejak dari kecil. Seperti yang telah dijelaskan di atas, penjagaan gigi juga penting dalam menjamin kesihatan tubuh badan secara optimum dan perlu anda sedari bahawa gigi mempunyai peranan yang sangat besar dalam kehidupan seharian seseorang. Sementelahan itu, jadilah orang yang bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan kesihatan diri agar orang disekeliling anda juga suka dan senang untuk bergaul dan selesa untuk beramah mesra dengan anda.
Dapatkan Kad Medikal Terbaik dari AXA eMedic untuk Perlindungan Kesihatan Masa Hadapan Anda
Tiada siapa yang mampu meramal apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Hari ini mungkin kita masih gagah berdiri, berlari, bermain bersama anak-anak tersayang serta mampu melakukan kerja-kerja berat. Namun, siapa yang tahu bahawa suatu hari nanti tanpa kita duga, kita akan ditimpa penyakit dan kita tidak berupaya lagi untuk melakukan perkara-perkara yang kita pernah lakukan seperti sediakala. Oleh itu, setiap orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk menempuhi liku-liku kehidupan di masa akan datang dengan mendapatkan kad medikal terbaik dari AXA eMedic sebagai perlindungan kesihatan masa hadapan anda dan keluarga.
Ditimpa penyakit adalah satu dugaan yang sudah cukup besar bagi seseorang. Namun yang demikian, apa yang lebih membebankan kepada seseorang yang telah ditimpa dugaan seperti ini ialah kos perbelanjaan rawatan untuk merawat penyakit tersebut. Kos rawatan bukan sahaja membebankan pesakit malah ia juga secara tidak langsung memberi beban kepada ahli keluarga yang lain. Justeru itu, kami di PolicyStreet sangat menyarankan anda untuk mendapatkan kad medikal dari AXA eMedic kerana kad medikal ini mampu menjadi penyelamat dan membantu meringankan beban anda dan keluarga sekiranya anda ditimpa penyakit. Apa yang perlu anda tunggu lagi? Dapatkan kad medikal AXA eMedic dari kami di PolicyStreet sementara anda masih sihat! Klik di sini jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kad medikal AXA eMedic dan layari laman web www.PolicyStreet.com untuk melihat dengan lebih lanjut perkhidmatan dan tawaran yang disediakan oleh kami.