Fake braces atau pendakap gigi adalah simbol kepada orang yang digelar sebagai “nerd” dan kebanyakan daripada mereka yang memakai braces malu untuk membuka mulut mereka dan menunjukkan gigi mereka kerana risau diejek. Namun begitu, pada zaman kini braces dikira sebagai satu trend fesyen yang dianggap sebagai perhiasan gigi untuk tampak lebih cantik dan bergaya. Kebanyakan dari mereka yang sanggup memakai fake braces ialah golongan remaja yang terikut-ikut dengan arus perkembangan fesyen semasa.
Panduan
- Apakah itu fake braces?
- Adakah fake braces bahaya untuk kesihatan?
- Di manakah fake braces ini boleh didapatkan?
- Bagaimanakah fake braces ini dipasang?
- Berapakah tempoh fake braces ini boleh dipakai di dalam mulut?
- Adakah fake braces ini akan memberi kesan kepada gigi dan mulut?
Apakah itu fake braces?
Fake braces ialah jenis braces yang dipasang pada gigi yang menyerupai bentuk braces yang sebenar namun braces palsu tidak mempunyai fungsi aplian ortodontik seperti braces yang dipakaikan oleh pakar ortodontik yang bertauliah di klinik mahupun di hospital. Aplian ortodontik ialah alat-alat untuk memakai braces iaitu terdiri daripada “bracket” atau dipanggil pendakap, getah yang dilekatkan pada permukaan gigi dan wayar. Aplian tetap ortodontik digunakan untuk menggerakkan gigi pesakit yang tidak teratur dan perlu diperiksa secara berkala sehingga susunan gigi menjadi teratur dan cantik. Pada kebiasaannya, perjumpaan berkala dengan pakar gigi mengambil tempoh sehingga dua atau tiga tahun sebelum braces tersebut boleh dicabut daripada gigi.
Adakah fake braces bahaya untuk kesihatan?
Fake braces sudah semestinya bahaya untuk kesihatan kerana menurut kajian braces palsu mengandungi bahan seperti plumbum yang boleh merosakkan sistem dalam tubuh badan seseorang. Selain itu, alatan yang digunakan semasa memasang fake braces juga tidak disterilkan dahulu sebagaimana yang selalu dibuat di klinik pergigian. Perkara ini boleh menyebabkan bahagian mulut anda dijangkiti kuman dan berisiko untuk mendapat kanser mulut. Harga murah yang ditawarkan untuk memasang fake braces bukanlah segalanya kerana dengan harga yang murah itu juga mampu menyebabkan anda untuk mengeluarkan kos yang lebih banyak apabila anda dijangkiti penyakit berbahaya seperti kanser dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, ada juga kes yang melibatkan nyawa apabila dua orang warga Thailand meninggal dunia akibat daripada pemakaian fake braces. Ianya dilaporkan bahawa mangsa telah tertelan serpihan daripada fake braces yang tidak kukuh dan tidak bersih. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menasihatkan orang ramai untuk tidak terjebak dengan pemakaian fake braces ini kerana pemakaian braces palsu ini tidak memberi apa-apa manfaat selain daripada memudaratkan kesihatan individu yang memakainya.
Di manakah fake braces ini boleh didapatkan?
Kebanyakan fake braces boleh didapatkan secara online iaitu melalui media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook. Penjualan fake braces kini telah begitu meluas sehinggakan ada juga yang menjual fake braces secara haram di salun-salun dan pasar gelap. Harga fake braces semestinya jauh lebih murah daripada harga sebenar braces yang dibuat di klinik atau hospital. Harga fake braces yang dijual secara haram adalah dalam lingkungan RM 50 sehingga RM 150 sahaja.
Bagaimanakah fake braces ini dipasang?
Pemasangan fake braces boleh dibuat oleh pembelinya sendiri ataupun dipasangkan oleh “doktor palsu”. Terdapat video-video tutorial tentang pemasangan fake braces yang berleluasa di laman sosial dan laman sesawang seperti Youtube dan sebagainya. Selain itu, pemasangan fake braces ini juga menyediakan perkhidmatan seperti pemasangan di rumah pelanggan atau di hotel-hotel serta pelanggan juga boleh datang ke rumah pemasang untuk mendapatkan perkhidmatan pemasangan.
Pemasangan fake braces adalah sangat berbeza dengan pemasangan yang dilakukan oleh pakar ortodontik di mana pakar ortodontik akan menggunakan aplian tetap ortodontik serta akan memberitahu cara penjagaan dan pantang-larang selepas pemasangan braces tersebut.
Berapakah tempoh fake braces ini boleh dipakai di dalam mulut?
Tempoh fake braces boleh dipakai di dalam mulut adalah antara tiga sehingga lima bulan sahaja dan apabila fake braces ini dipakai melebihi daripada tempoh itu, gam yang berfungsi untuk melekatkan fake braces ini akan tertanggal atau tidak dapat melekat dengan baik lagi. Sungguhpun begitu, ianya bergantung juga kepada si pemakai sama ada mereka ingin memakainya pada tempoh masa yang lama mahupun tidak.
Adakah fake braces ini akan memberi kesan kepada gigi dan mulut?
Ya. Fake braces boleh memberi kesan yang sangat ketara pada si pemakai di mana ia boleh menyumbang kepada pergerakan gigi. Walaupun pergerakan gigi itu mungkin tidak begitu ketara namun ada sesetengah kes fake braces yang boleh menyebabkan gigi longgar dan hampir tercabut daripada gusi. Di samping itu, fake braces juga adalah salah satu punca yang menyumbang kepada masalah karies gigi dan gusi berdarah. Hal ini terjadi kerana “doktor palsu” yang memasang fake braces ini tidak akan memberi penerangan cara-cara penjagaan selepas pemasangan dan teknik memberus gigi untuk pemakai braces juga tidak diberitahu.
Tambahan lagi, fake braces juga boleh mengakibatkan bentuk tulang, gigi, gusi dan muka menjadi cacat. Pada kebiasaannya, pakar ortodontik akan melakukan x-ray sebelum melakukan pemasangan braces kerana melalui imej x-ray tersebut barulah doktor boleh memasang braces mengikut keperluan dan masalah gigi yang pesakit tersebut alami. Namun sebaliknya dengan pemasangan fake braces ini kerana pemasangannya sangat mudah dan tidak terperinci. Oleh sebab itu juga, fake braces boleh menyumbang kepada masalah kecacatan pada gigi, gusi, bentuk tulang, muka dan sebagainya kerana pemasangannya adalah tidak mengikut keperluan dan kesesuaian pesakit.
Kesimpulan
Natijahnya, fake braces ini adalah satu perkembangan fesyen yang tidak wajar dilakukan oleh sesiapa. Ini kerana, fake braces sudah terbukti boleh membahayakan kesihatan serta nyawa individu yang memakainya. Justeru itu, kepada mereka yang ingin membuat rawatan gigi, buatlah di klinik-klinik atau di hospital-hospital yang boleh dipercayai dan mempunyai lesen untuk membuat rawatan pada gigi anda. Jangan terpedaya dengan kemurahan harga fake braces yang dijual di media sosial mahupun di tempat-tempat yang meragukan. Harga pemasangan braces yang sah dan dipercayai mungkin mahal namun sekurang-kurangnya anda akan mendapat hasil yang memberangsangkan dan tiada kesan sampingan terhadap kesihatan anda. Buat keputusan dengan bijak dan sentiasa berfikir dahulu sebelum anda ingin membuat keputusan untuk memasang sesuatu kepada gigi anda atau sebagainya.
Dapatkan Kad Medikal Terbaik dari AXA eMedic SebagaI Perlindungan Kesihatan Anda di Masa Hadapan.
Kesihatan gigi adalah penting untuk semua orang kerana pada setiap hari kita menggunakan gigi untuk menggoyak atau mengunyah makanan. Oleh itu, penjagaan gigi sangat penting demi memastikan kehidupan seharian kita berjalan dengan lancar dan mudah. Walau bagaimanapun, sesuatu yang tidak kita duga juga boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh yang demikian, sekarang adalah waktu yang sesuai untuk anda dapatkan kad medikal terbaik dari AXA eMedic sebagai persediaan dan perlindungan kesihatan anda di masa hadapan. Dengan harga premium yang bermula dari RM 32 sebulan, anda boleh dapatkan kad medikal AXA eMedic ini dari kami di PolicyStreet. Anda tidak perlu bersusah-payah untuk bergerak dari tempat anda untu dapatkan kad medikal ini kerana anda boleh dapatkannya menerusi pendaftaran atas talian sahaja! Apa yang anda tunggu lagi? Bertindak sekarang untuk pastikan masa hadapan anda dan keluarga terjamin dengan adanya kad medikal AXA eMedic ini sebagai perlindungan kewangan kesihatan anda. Layari laman web www.PolicyStreet.com untuk info lanjut.